(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, dapat menenteramkan hati manusia

-Surah al-Ra’d: ayat 28

 

 

Dewasa ini, Malaysia berhadapan dengan peningkatan lanskap demografi populasi warga emas atau juga dikenali sebagai silver tsunami. Hal ini menjadikan impak terhadap proses kedukaan selepas kehilangan menjadi lebih signifikan. Adalah penting bagi ahli keluarga berupaya untuk mengenal pasti simptom-simptom awal yang ditunjukkan oleh ibu bapa atau warga emas. Kebolehan untuk melakukan intervensi awal mampu memberikan hasil yang berbeza lantas Gangguan Kesedihan Berpanjangan atau Prolonged Grief Disorder (PGD) dapat dielakkan.

 

Kunci utama dalam berhadapan dengan situasi seperti ini adalah keupayaan ahli keluarga untuk cakna dalam mengenal pasti tanda-tanda awal. Antaranya seperti;

 

  1. Simptom-simptom kemurungan seperti sedih berpanjangan, tiada atau kurang minat dalam melakukan aktiviti yang disukai, kesukaran tidur, gangguan polar pemakanan, kurang tumpuan, perasan bersalah atau berputus asa dan pemikiran yang cenderung untuk mencederakan atau membunuh diri. Simptom ini wujud selepas warga emas tersebut berhadapan dengan kehilangan individu yang dicintai dan simtp berkekalan selama lebih dari enam bulan.

 

  1. Golongan warga emas lebih cenderung untuk menunjukkan atau membuat aduan mengenai simptom somatik seperti sakit kepala, sakit sendi, kelesuan secara berlebihan dan lain-lain.

 

  1. Mereka tidak mampu untuk meneruskan aktiviti- aktiviti harian yang sering dijalankan sebelum mereka kehilngan insan tersayang.

 

Seterusnya, apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, pendekatan secara holistik diperlukan untuk mengelakkan daripada mereka menafikan perasaan dan emosi mereka. Berikut adalah perkara yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga dalam membantu golongan warga emas dalam berhadapan situasi ini.

 

  1. Sistem sokongan

Sangatlah penting bagi ahli keluarga dan keluarga terdekat atau rakan sebaya untuk mewujudkan sistem sokongan atau support system agar golongan ini diberi peluang untuk berkongsi kisah mengenai si mati dalam suasana yang selamat. Perkara ini dapat membantu mereka untuk mengnormalisasikan kedukaan selepas kehilangan tanpa perlu mengenepikan emosi kesedihan mereka.

 

  1. Sokongan emosi

Pada masa yang sama, berkomunikasi dengan cara yang betul juga sangat penting seperti mendengar luahan golongan warga emas secara aktif (active listening) dan tanpa menilai (without judgement) agar mereka selesa untuk berkongsi emosi. Mendorong komunikasi dapat mengalakkan penceritaan kisah insan tercinta dan menghubungkan kerinduan terhadap si mati melalui memori dan kenangan.

 

  1. Aktiviti fizikal

Menekankan cara-cara yang lebih adaptif dan sihat dalam pengurusan emosi apabila berhadapan dengan kesedihan selepas kehilangan, seperti melakukan aktiviti fizikal yang bersesuai seperti berjalan secara santai (brisk walking), mewujudkan hobi dan rutin aktiviti. Mendorong warga emas untuk melakukan aktiviti fizikal mampu menyumbang kepada kesejahteraan dalam kehidupan.

 

  1. Aktiviti peringatan

Mencipta aktiviti atau upacara yang bermakna untuk menghormati kenangan orang yang telah meninggal dunia seperti tahlil untuk mereka beragama Islam, shraddha bagi mereka beragama Hindu, offerings bagi penganut Buddha, upacara prayer vigils bagi penganut Kristian dan sebagainya.

 

  1. Memastikan warga emas mendapat tidur yang mencukupi dan diet yang sihat.

 

  1. Aspek kerohanian

Tidak dilupakan, aspek kerohanian juga penting dalam membantu warga emas menangani kesedihan selepas kehilangan. Mereka digalakkan untuk melibatkan diri dalam ritual atau aktiviti keagamaan, meditasi atau aktiviti yang mampu meningkatkan kerohanian inividu tersebut. Aktiviti seperti ini dapat memberikan kesejahteraan emosi ketika mereka sedang berduka.

 

  1. Bantuan profesional

Rujukan kepada golongan professional seperti kaunselor atau pakar psikiatri jika didapati keadaan inidividu warga emas semakin merosot.

 

Sebagai penghias biacara akhir, kesedihan selepas kehilangan adalah respon semulajadi. Namun begitu, tindakbalas terhadap kehilangan dikalangan warga emas adalah unik dan berbeza. Sangatlah penting bagi ahli keluarga untuk mengenal pasti simptom dan kesejahteraan emosi mereka dan menyalurkan bentuk sokongan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa agar intervensi sokongan awal dapat diberikan dan menavigasikan proses berduka yang dialami oleh mereka.

 

 

 

Reference:

Meichsner F, O’Connor M, Skritskaya N, Shear MK. Grief before and after bereavement in the elderly: An approach to care. The American Journal of Geriatric Psychiatry. 2020 May 1;28(5):560-9.

 

 

Penulis:

Dr. Nurazah Binti Ismail

Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).