The Silent Tears: Understanding Grief in the Golden Years (Memahami Kesedihan Selepas Kehilangan di Kalangan Warga Emas) Part 1 / Bahagian 1
Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis
– Surah An-Najm, ayat 43.
Perasaan sedih merupakan emosi normal yang dilalui oleh semua masyarakat tidak kira bangsa, agama dan umur. Kesedihan boleh disebabkan pelbagai punca dan antaranya ialah grief. Ia juga dikenali sebagai kesedihan selepas kehilangan. Warga emas, merupakan golongan umur yang rentan (vulnerable) terhadap grief. Walaubagaimanapun, kebanyakan individu yang berduka selepas kehilangan insan tersayang berupaya menguruskan emosi mereka dan berfungsi seperti sediakala. Akan tetapi, terdapat golongan minoriti yang mempunyai reaksi berbeza apabila berhadapan dengan kehilangan. Golongan tidak berupaya untuk menghadapi situasi ini, lalu menyebabkan kemerosotan fungsi dalam kehidupan mereka, keadaan ini dikenali sebagai Gangguan Kesedihan Berpanjangan atau Prolonged Grief Disorder (PGD). Sebanyak 9.8% individu yang berduka selepas kehilangan mengalami gangguan kesedihan berpanjangan (PGD).
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada terjadinya gangguan kesedihan berpanjangan, terutamanya dikalangan warga emas. Antaranya ialah, faktor umur di mana individu tersebut lebih kerap berhadapan dengan kehilangan insan yang tersayang. Kehilangan yang dialami oleh warga emas merupakan satu situasi yang kompleks, terutamanya kehilangan pasangan, ahli keluarga dan rakan sebaya. Kesedihan di atas kehilangan ini menyebabkan mereka bergelumang dengan perasaan sunyi dan kosong yang amat mendalam. Kesedihan disebabkan oleh kehilangan ini bukan sahaja membawa maksud kepada kehilangan insan tercinta, malah ia juga boleh disebabkan oleh kehilangan identiti, kehilangan struktur keluarga yang dikenali, kehilangan gaya hidup yang dipilih dan kehilangan tempat kebergantungan dan sebagainya.
Selain itu, faktor seperti kematian secara tiba-tiba atau mengejut (contoh seperti kemalangan jalan raya) berbanding dengan kematian secara semula jadi akibat penyakit kronik, mendedahkan warga emas lebih berisiko untuk berhadapan dengan gangguan kesedihan berpanjangan. Faktor-faktor risiko lain yang mendedahkan golongan ini kepada kesedihan berpanjangan adalah tahap kesihatan mental mereka di alam dewasa. Apabila seseorang itu mengalami trauma di zaman kanak-kanak (seperti penderaan, pengalaman kehidupan), keadaan ini membuatkan warga emas tersebut lebih cenderung untuk mempunyai reaksi kesedihan yang berbeza berbanding individu lain.
Implikasi dan kesan kesedihan berpanjangan selepas kehilangan insan tersayang dikalangan warga emas ini menjerumuskan mereka kepada isu kesihatan mental seperti depresi, anzieti, gangguan tidur, fobia dan lain- lain, lantas menganggu kualiti kehidupan mereka. Kesedihan disebabkan oleh kehilangan bukanlah satu proses, akan tetapi, ia adalah beban sepanjang hayat di hati dan jiwa seseorang. Tidak dilupakan, dari segi fizikal, kesedihan akibat kehilangan yang dialami oleh warga emas ini boleh mengganggu dan menerukkan keadaan kesihatan yang sedia ada. Perubahan polar tidur dan selera makan boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka. Keadaan ini juga boleh memberikan kesan kepada sistem imun dan menjadikan kesihatan fizikal golongan warga emas ini lebih rapuh.
Akhir kalam, kesedihan selepas kehilangan insan yang tercinta dikalangan warga emas perlu dititikberatkan agar ia dapat dibendung dengan lebih awal. Oleh yang demikian, ahli keluarga dan insan terdekat perlu lebih memainkan peranan untuk mengenali tanda-tanda awal supaya mereka mampu beradaptasi dengan kehilangan.
Reference:
Treml J, Linde K, Engel C, Glaesmer H, Hinz A, Luck T, Riedel-Heller S, Sander C, Kersting A. Loss and grief in elderly people: results from the LIFE-Adult-Study. Death Studies. 2022 Aug 9;46(7):1621-30.
Penulis:
Dr. Nurazah Binti Ismail
Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).