Peperangan di Gaza – Apa kaitannya dengan Collective Grief?
Sejak Oktober 2023, masyarakat dunia digemparkan dengan konflik Palestin dan Israel yang mengorbankan puluhan ribu mangsa yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas. Situasi di Gaza ini diburukkan lagi selepas hospital-hospital turut menjadi lokasi serangan yang mengakibatkan sistem kesihatan di wilayah terbabit lumpuh sepenuhnya. Video dan imej-imej yang dikongsikan melalui media sosial telah mendapat perhatian seluruh dunia tidak kira negara, bangsa atau agama. Ramai masyarakat dunia terutamanya penganut agama Islam telah terkesan dengan situasi ini. Biarpun mereka tidak terlibat secara langsung dengan situasi perang ini, namun, kesan emosi terhadap krisis kemanusiaan ini sudah pasti tidak dapat dinafikan lagi.
Apakah sebenarnya yang sedang dialami dan dirasai oleh masyarakat dunia ketika ini? Inilah yang dinamakan sebagai Collective Grief atau proses grief secara berkumpulan. Situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan sesuatu kehilangan serta memiliki persamaan dengan mangsa yang mengalaminya secara langsung. Sama seperti proses grief yang lain, seseorang yang melalui Collective Grief juga merasai pelbagai emosi yang bercampur-baur seperti kemarahan, perasaan tidak percaya, putus harapan, kesedihan, ketidakupayaan dan sebagainya. Tahap keterukan perasaan-perasaan ini adalah berbeza mengikut individu. Perasaan ini tidaklah dibuat-buat atau berlaku secara pura-pura, ia adalah suatu perasaan yang benar-benar dirasai sehingga ada yang tidak mampu lagi mengawal perasaan ini dan memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Mungkin ada yang pernah mempersoalkan mengapa mereka perlu berasa seperti ini sedangkan mereka bukan lah penduduk Gaza mahupun mempunyai saudara mara yang tinggal di Gaza. Namun, sebagai manusia yang mempunyai ahli keluarga, anak-anak, ibu bapa, mempunyai nilai-nilai kemanusiaan cintakan kepada keamanan atau berkongsi agama yang sama (bagi mereka yang menganut agama Islam), persamaan ini lah yang mendorong seseorang itu terkesan dengan peperangan di Gaza ini. Justeru, amat penting bagi kita mengenalpasti dan mengiktiraf perasaan tersebut dan tidak menafikan mahupun mengabaikan perasaan ini kerana ia perlu diuruskan dengan baik supaya kesihatan mental dan emosi kita berada pada tahap yang sihat dan optimum.
Terdapat beberapa tips yang mungkin boleh diaplikasikan semasa tempoh ini supaya proses Collective Grief ini dapat diuruskan dengan baik:
H – Hope (Pengharapan): Tips pertama ini penting bagi memastikan kita kekal positif dalam berdepan situasi bencana seperti ini. Bagi seorang muslim, pengharapan ini dapat diletakkan kepada Allah S.W.T sebagai Sang Pencipta yang menjadikan dunia sebagai tempat untuk ujian serta dugaan sebelum menuju ke alam akhirat. Justeru, kesengsaraan yang dialami ketika ini bukanlah buat selamanya dan sesiapa yang berjaya melaluinya akan menemui pengakhiran yang baik kelak.
E – Empowerment (Pemerkasaan): Memperkasakan diri dalam situasi ini merupakan salah satu aspek penting dalam mengharungi fasa ini. Seseorang tu dapat memperkasakan diri dengan menkaji semula sejarah peperangan di Gaza yang sudah berlarutan lebih setengah abad lamanya. Ini dapat memberikan perspektif yang lebih jelas dan membolehkan seseorang itu memahami peranan mereka dalam peperangan ini. Menjadi sebahagian daripada komuniti dunia yang menginginkan keamanan dan keadilan akan menjadikan kita lebih kuat untuk menjalankan peranan kita.
A – Action (Tindakan): Setiap emosi yang hadir dalam minda kita disertai dengan tenaga (energy). Perasaan seperti marah, tidak berpuas hati, kesedihan dan sebagainya akan mencetuskan tenaga-tenaga tertentu di dalam diri. Mengalirkan tenaga tersebut ke saluran yang betul amat penting bagi menjamin kestabilan emosi dan kesihatan mental seseorang. Memendam emosi dan tenaga ini mungkin boleh menyebabkan seseorang tidak boleh menjalankan fungsi harian dengan efektif. Justeru, tindakan seperti memuatnaik status tentang keamanan, membuat kutipan derma bantuan, menjadi sukarelawan, membuat himpunan solidariti secara aman atau berdoa dapat membantu seseorang menguruskan emosi ini dengan sihat.
L – Listen (Mendengar): Tips terakhir ialah menjadi pendengar yang baik. Mendengar dan memerhatikan keadaan sekeliling termasuk diri sendiri di waktu yang sukar ini. Mendengar rintihan hati anda dan mengetahui tahap ketahanan diri anda. Pastikan anda tidak mendedahkan diri dengan terlalu banyak maklumat, foto-foto atau video-video yang boleh membuatkan anda berasa tidak selesa. Cukup sekadar anda mengemaskini situasi dan keadaan di Gaza dengan informasi yang tepat dan terkini. Pastikan anda melakukan penjagaan diri (self-care) dari masa ke semasa.
Diharapkan tips H-E-A-L ini dapat membantu mereka yang sedang mencari cara menjalani proses Collective Grief berkaitan dengan situasi yang sedang berlaku di Gaza. Sudah pasti sokongan dan doa yang berterusan daripada semua masyarakat dunia tidak akan berhenti sehingga kekejaman yang berlaku di Gaza dihentikan segera. Oleh itu, penting untuk kita terus menjaga kesihatan fizikal dan kesihatan mental kita supaya kita terus dapat bersolidariti bagi keamanan di bumi Gaza.
Dr Hanif, Pakar Psikiatri, TABAH
Sumber:
Ruh – Muslim Online Therapy Platform and Global Directory of Muslim Therapists – RuhCare.com