Kesan ‘Grief’ Terhadap Kesihatan Fizikal dan Sebaliknya
Puan M, 58 tahun, sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit, telah mengadu sakit dada dan sesak nafas. Beliau telah dikejarkan ke unit kecemasan hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Selepas siasatan dijalankan, beliau telah disahkan mengalami serangan jantung. Namun demikian, berdasarkan ujian-ujian yang telah dijalankan oleh pasukan perubatan mendapati bahawa tidak terdapat sebarang tanda-tanda saluran darah tersumbat atau sempit. Siasatan selanjutnya mendapati pergerakan otot jantung beliau menyerupai ‘takotsubo’ (nama pot yang digunakan oleh orang Jepun untuk menangkap sotong) ketika mengepam. Justeru, beliau telah disahkan menghidapi Sindrom Takutsubo. Hasil pertanyaan lanjut juga mendapati beliau baru sahaja kehilangan orang tersayang dalam satu kemalangan maut beberapa hari sebelum gejala-gejala tersebut berlaku. Beliau telah diberikan rawatan dan dibenarkan pulang setelah keadaan beliau stabil.
Ini merupakan salah satu kisah yang pernah berlaku kepada salah seorang pesakit yang sedang melalui proses ‘grief’. Dalam kehidupan kita, kesedihan dan kedukaan adalah satu emosi yang dapat memberi kesan mendalam terhadap kesihatan fizikal kita. Terdapat kaitan yang kuat antara ‘grief’ dan kesihatan fizikal yang seringkali diabaikan. Dalam artikel ini, kita akan mengupas bagaimana ‘grief’ boleh mempengaruhi kesihatan fizikal, dan bagaimana kesihatan fizikal yang terjejas dapat memburukkan lagi keadaan emosi kita ketika proses ‘grief’.
1) Takotsubo Sindrom:
Takotsubo Sindrom, juga dikenali sebagai “sindrom patah hati,” adalah satu keadaan yang boleh berlaku apabila seseorang sedang menghadapi tekanan emosi yang kuat seperti kesedihan yang melampau. Ia memberikan kesan yang serupa dengan serangan jantung, dengan gejala seperti sakit dada, sesak nafas, dan kadar denyutan jantung yang pantas. Pada kebanyakan kes, sindrom takotsubo berlaku selepas kematian orang tersayang atau pengalaman kehilangan yang berlaku tanpa dijangka.
2) Sistem imunisasi yang lemah:
Ketika proses ‘grief’ dan berduka, sistem imunisasi badan kita akan terjejas. Kadar stres yang tinggi dan ketidakseimbangan hormon yang disebabkan oleh kesedihan boleh melemahkan daya tahan tubuh dan meningkatkan risiko menghidap penyakit. Risiko menghidapi jangkitan kuman, masalah saluran pernafasan, dan penyakit ‘autoimun’ boleh menjadi lebih tinggi apabila seseorang sedang menghadapi kesedihan yang melampau.
3) Gangguan tidur di waktu malam:
‘Grief’ juga boleh mengganggu tidur yang berkualiti. Kesedihan yang berpanjangan seringkali menyebabkan masalah tidur seperti ‘insomnia’ atau tidur yang terganggu. Kekurangan tidur yang berterusan mempunyai impak negatif terhadap kesihatan fizikal, termasuk penurunan daya tumpuan, keletihan, dan peningkatan risiko mendapat masalah jantung.
4) Gangguan selera makan dan sistem penghadaman:
Saat berduka, seseorang mungkin mengalami perubahan jadual pemakanan dan memilih makanan yang tidak seimbang atau tidak sihat. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti gangguan pencernaan, ketidakhadaman, serta kehilangan berat badan secara tidak sihat atau peningkatan berat badan yang berlebihan.
5) Pengabaian ubat-ubatan dan kesihatan diri:
Mereka yang berduka juga kerap lupa untuk mengambil ubat-ubatan mereka seperti ubat diabetes, hipertensi, atau ubat-ubat lain yang penting bagi keseimbangan kesihatan mereka. Keadaan ini dapat menyebabkan mereka mengalami komplikasi kesihatan yang serius seperti serangan strok, masalah jantung, atau komplikasi yang lain.
Langkah-langkah untuk Menjaga Kesihatan Diri Ketika Berduka:
1) Mengamalkan belas ihsan diri (self-compassion):
Berikan diri anda peluang untuk merasai kesedihan dan berduka dengan penuh kasih sayang. Belajar menerima perasaan-perasaan anda dan usah menyalahkan diri sendiri. Beri perhatian pada keperluan emosi dan fizikal anda dengan sebaiknya.
2) Beri waktu untuk menangis:
Menangis adalah salah satu cara semula jadi untuk melepaskan emosi dan kesedihan. Jangan menahan atau mengekang tangisan anda. Berikan diri waktu dan ruang untuk meluahkan perasaan melalui menangis apabila perlu.
4) Mengelakkan diri daripada bersendirian:
Ketika berduka dan ‘greif’, adalah penting untuk mencari sokongan sosial. Berinteraksi dengan orang yang anda percaya, seperti keluarga dan rakan-rakan terdekat, yang dapat mendengar dan memahami anda. Dapatkan sokongan emosional dan fizikal dari orang-orang yang mengambil berat tentang anda.
5) Pastikan makan secara teratur:
Ketika melalui prose ‘grief’, mungkin amat mudah terlewat untuk makan atau kehilangan selera makan. Tetapi penting untuk menjaga nutrisi yang seimbang dan mengambil makanan yang memberikan tenaga yang diperlukan untuk pemulihan fizikal dan emosi. Pastikan anda makan makanan seimbang secara teratur.
6) Cuba menjalani rutin harian:
Menjalani rutin harian yang asas sedikit sebanyak dapat membantu diri menjalani proses ‘grief’ secara sihat. Sebagai contoh mandi pada waktunya, bersukan dan riadah, mengambil makanan secara teratur, mengambil ubat-ubatan bagi mereka yang menghidapi masalah kesihatan secara teratur, dan bersosial dengan keluarga serta sahabat handai dapat membantu menjaga keseimbangan emosi dan fisikal anda.
Kesimpulannya, ketika seseorang menjalani prose ‘grief’, kesannya tidak hanya terbatas pada aspek emosi, tetapi juga dapat memberi kesan signifikan pada kesihatan fisikal. Mereka yang sedang berduka mudah mengalami komplikasi kesihatan seperti stroke atau masalah jantung akibat seringkali lupa untuk mengambil ubat-ubatan yang penting seperti untuk diabetes atau hipertensi.
Selama masa berduka dan ‘grief’, sangat penting untuk menjaga kesihatan diri dengan langkah-langkah yang betul. Dengan memahami pengaruh kesedihan terhadap kesihatan fisikal dan mengambil langkah-langkah yang tepat untuk menjaga diri, kita dapat menjalani proses ‘grief’ dengan lebih sihat.
Dr Hanif, Pakar Psikiatri, TABAH
Dr Nazrila Hairin, Pakar Perubatan Keluarga