“Berasa sedih walaupun tak kenal?” – Kenali Collective Grief
Mutakhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai tragedi yang menyayat hati. Media melaporkan tentang kemalangan yang meragut nyawa 9 orang ahli keluarga yang menjadi mangsa fenomena kepala air di Jeram Mawar, Kemaman, Terengganu. Selang beberapa hari kemudian, seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli di sekolah telah menyebabkan kematian adiknya. Kemudian, kita juga diberitakan tentang kematian salah seorang penyanyi Asia-Amerika, Coco Lee, yang telah ditemui meninggal dunia di kediamannya. Kesemua berita ini sudah pasti memberikan kesan kepada sesiapa sahaja yang membaca atau mendengarnya. Perasaan seperti sedih, marah, terkejut atau apa sahaja perasaan dirasai selepas mengetahui berita tersebut adalah satu perasaan yang normal. Situasi ini dikenali sebagai ‘Collective Grief’. Ia merupakan satu situasi di mana sekumpulan individu merasai campuran perasaan seperti sedih, marah, berduka atau terkejut akibat sesuatu kehilangan sama ada mereka saling mengenali atau pun tidak. Bagi mereka yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan tragedi tersebut, situasi ini boleh berlaku sekiranya mereka juga pernah melalui pengalaman yang serupa sebelum ini. Apabila mereka mengetahui berita tersbut, ia mampu menyebabkan ‘kesakitan’ yang lama itu dirasai kembali. Setiap individu mempunyai cara yang berbeza ketika menjalani proses ‘grief’ ini. Oleh yang demikian, adalah penting bagi kita mengenalpasti dan memahami ‘Collective Grief’ ini supaya kita dapat menguruskan perasaan tersebut secara sihat.
Bagi menguruskan proses ‘Collective Grief’ ini, kami mengambil tips yang telah dikongsikan oleh David Kessler melalui sesi temubual beliau bersama stesen berita ‘Fox News Digital’. Beliau telah berkongsi empat tips utama yang dapat membantu seseorang itu menjalani proses ini ‘Collective Grief’ ini:
1) Elakkan menghakimi ‘grief’ anda
“Kenapa saya pula yang perlu rasa sedih?Saya bukan kenal dengan mangsa tragedi itu pun”. Fikiran seperti ini boleh hadir apabila seseorang individu itu terkesan dengan sesuatu berita atau tragedi. Mengenalpasti dan mengiktiraf perasaan anda ketika proses ‘grief’ ini adalah sesuatu yang amat penting. Ia merupakan perasaan yang normal dan perlu diiktiraf. Bukan menidakkan perasaan tersebut.
2) Mengenalpasti tahap / kemampuan emosi anda
Penting untuk seseorang itu mengenalpasti titik tepu atau tahap maksima yang mampu diuruskan oleh dirinya. Kadangkala melihat atau membaca berita yang sama berulangkali boleh menyebabkan seseorang tu berasa terbeban dengan emosi yang hadir bersama. Setiap individu mempunyai tahap maksima yang berbeza-beza. Apabila anda mula berasa terbeban, bagus sekiranya anda berhenti seketika daripada membaca berita-berita yang berkaitan dengan insiden terbabit sama ada di media massa atau media sosial.
3) Berkongsi perasaan anda dengan individu yang anda percaya
Sekiranya anda mempunyai rakan-rakan atau ahli keluarga yang boleh mendengar dengan baik setiap kali anda berkongsi perasaan, anda digalakkan untuk meluahkan perasaan and itu bersama mereka. Penting untuk memilih mereka yang benar-benar faham dan mampu mendengar tanpa menghakimi apa yang anda ingin luahkan supaya anda tidak berasa keseorangan ketika menjalani proses ‘grief’ ini.
4) Menukarkan ‘Collective Grief’ kepada tujuan murni
Kadangkala kita akan dihantui perasaan tidak berdaya selepas mendengar berita-berita ini. Namun, setiap kesakitan yang dilalui itu pasti ada peluang untuk kita melakukan sesuatu kebaikan. Kebaikan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Anda boleh membantu mengumpulkan derma bagi meringankan beban keluarga mangsa, mendoakan kesejahteraan mangsa-mangsa atau pun dengan memberikan sokongan moral kepada mereka yang terkesan dengan tragedi tersebut.
Seterusnya, bagi mereka yang ingin memberikan sokongan kepada mereka yang melalui proses ‘Collective Grief’ ini, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan. Antaranya ialah:
1) Hadir dan berada bersama mereka
Duduk bersama dan mendengar luahan hati mereka sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan kepada mereka. Ini membuatkan mereka berasa tidak berseorangan dan ada seseorang yang dapat memahami mereka.
2) Elakkan sikap menghakimi
Sikap menghakimi ini tidak membantu individu yang melalui proses ‘grief’ ini menjalani proses tersebut secara sihat. Elakkan menggunakan perkataan-perkataan seperti “Takkan benda ini pun nak sedih?” atau “Kamu ni lemah sangat lah, perkara ni pun kamu nak terkejut dan sedih”. Kata-kata seperti ini boleh menyebabkan proses ‘grief’ seseorang itu terganggu dan menjadi tidak sihat.
3) Diam sudah memadai
Adakalanya, kita tidak pasti apa yang perlu dikatakan selepas mereka meluahkan perasaan mereka. Namun, kadangkala adalah lebih baik sekiranya kita hanya diam dan sekadar mendengar. Itu sudah cukup untuk membuatkan mereka berasa tenang. Kehadiran kita juga boleh memberikan makna yang besar buat mereka.
4) Menyediakan keperluan asas
Kebiasaanya, memberikan keperluan asas seperti makanan, minuman dan keselamatan dapat membuatkan mereka yang terkesan dengan tragedi ini berasa selamat dan tenang. Oleh itu, ini juga merupakan salah satu tips yang dapat membantu seseorang menjalani proses ‘Collective Grief’.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan kita sedikit kefahaman tentang konsep “Collective Grief’ yang boleh berlaku selepas sesuatu tragedi atau bencana. Sesiapa sahaja boleh merasai pengalaman ini sama ada mempunyai hubungan secara langsung atau pun tidak langsung dengan insiden tersebut.
Dr Hanif & Dr Iwana,
Dee Hati, TABAH.
Diadaptasi daripada “How to cope with ‘collective grief’ when mass tragedy strikes” oleh Fox News Channel, 14 Jun 2022.