‘Grieving’ Sebagai Seorang Muslim
Menjalani Proses ‘Grieving’ Sebagai Seorang Muslim: Mengambil Teladan daripada kisah Rasulullah SAW
Kehidupan ini tidak terlepas dari kematian dan kehilangan insan tersayang. Semua manusia pasti akan mengalami perasaan dukacita selepas kehilangan seseorang yang dicintai. Sebagai seorang Muslim, kita boleh mencari inspirasi dan teladan daripada kehidupan Rasulullah SAW dalam menghadapi proses berdukacita atau ‘greiving’. Rasulullah sendiri telah mengalami pelbagai jenis kehilangan yang membentuknya menjadi pemimpin yang tabah dan penyayang. Dalam artikel ini, kita akan menjelajahi beberapa titik penting dalam kehidupan Rasulullah SAW yang berkaitan dengan proses berdukacita dan bagaimana kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.
Daripada usia muda, Rasulullah SAW telah kehilangan ramai insan tersayang. Sebelum baginda dilahirkan, ayahnya telah meninggal dunia. Kemudian, ibunya meninggal dunia ketika baginda masih kanak-kanak. Baginda juga kehilangan datuknya yang menjaga baginda dengan penuh kasih-sayang. Sebagai ayah, Rasulullah SAW juga mengalami tealh menyaksikan kematian anak-anaknya. Pengalaman seperti ini sudah tentu merupakan pengalaman yang sukar bagi kebanyakan ibu bapa, apatah lagi harus menyaksikan kematian anak-anak mereka ketika mereka masih hidup. Kehilangan ini memberikan pemahaman yang mendalam kepada Rasulullah tentang perasaan dukacita dan kesedihan.
Di dalam sirah nabawiyah, sekitar tahun ke-10 kerasulan, terdapat satu tahun yang dikenali sebagai “Tahun Dukacita” di mana baginda kehilangan orang-orang yang sangat dikasihinya, iaitu bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya yang tercinta, Saidatina Khadijah. Dalam tahun ini, Rasulullah SAW juga menghadapi perlakuan zalim dan penyeksaan dari kaumnya. Baginda menghadapi pelbagai rintangan dan kesengsaraan sepanjang tahun tersebut. Sebelum ini baginda mendapat sokongan yang kuat daripada dua orang yang baginda kasihi ini. Namun, selepas ketiadaan mereka, baginda terpaksa mengharungi dugaan ini dengan tabah dan sabar. Ketika menghadapi perlakuan zalim dan penyeksaan, baginda tidak membalas dengan kekerasan atau kebencian.
Ketika dugaan dan cabaran yang baginda hadapi semakin bertambah, Allah SWT menganugerahkan satu perjalanan yang dikenali sebagai Israk Mikraj. Antara sebab anugerah ini diberikan adalah untuk menjadi pengubat hati baginda yang sedang berduka. Israk dan mikraj selalu dikaitkan dengan kewajipan solat, namun, terselit juga bagaimana Allah SWT menunjukkan kasih sayangnya terhadap baginda dalam proses berdukacita tersebut. Israk Mikraj telah menjadi pengalaman spiritual yang memberikan ketenangan dan kekuatan kepada Rasulullah. Ketika Rasulullah SAW diangkat ke langit dalam perjalanan Israk Mikraj, baginda bertemu dengan para nabi dan rasul terdahulu. Para nabi dan rasul terdahulu juga menghadapi proses berdukacita sepanjang hidup mereka.
Pertemuan ini memberikan ruang dan peluang kepada baginda untuk mendapatkan sokongan emosi dan rohani. Jika dilihat dengan lebih mendalam, proses ini sama seperti ‘support group’ yang telah diwujudkan pada masa kini bagi membantu mereka yang sedang bersedih diatas sesuatu kematian dan kehilangan. Berhubung dengan mereka yang sedang berdukacita membolehkan seseorang dapat meluahkan rasa sedih, berkongsi pengalaman, dan menemukan kekuatan dan ketenangan dalam menjalani proses berdukacita. Ini boleh membuatkan sesorang itu tidak berasa sendirian dan dapat meneruskan hidup dengan lebih baik.
Kesimpulannya, dalam kehidupan Rasulullah SAW, kita dapat melihat bagaimana baginda sebagai salah seorang contoh dan teladan kepada umat Islam juga merasai kesedihan dalam menjalani proses ‘grieving’. Berasa sedih dan hiba diatas sesuatu kematian bukanlah bermaksud sesorang itu lemah imannya. Teladan dari kisah kehidupan Rasulullah SAW mengajar kita erti cinta yang mendalam ketika menjalani proses ‘grieving’ sebagai seorang muslim. InsyaAllah, dalam artikel yang akan datang, kita akan merungkai tentang adat resam yang sering diamalkan oleh umat Islam di Malaysia selepas kematian ahli keluarga dan bagaimana ia dapat membantu kita mengharungi proses ‘grieving’ ini.
Dr Hanif, Pakar Psikiatri, TABAH
Diadaptasi daripada Episod 2: Grieving sebagai Muslim
Oleh Dr Ahmad Rostam Md Zin (Pakar Perunding Psikiatri), Dr Mohd Nazir Mohd Nazori (Pensyarah Kulliyah of Allied Health Science, IIUM)